Kehidupan awal Brent Renaud

Renaud dilahirkan pada 2 Oktober 1971[1] di Memphis, Tennessee, dan dibesarkan di Little Rock, Arkansas.[1] Ibunya, Georgen Freasier, merupakan seorang pekerja sosial dan ayahnya, Louis Renaud, merupakan seorang jurujual.[1] Renaud memperoleh ijazah sarjana muda dalam kesusasteraan Inggeris dari Southern Methodist University dan Ijazah Sarjana dalam Sosiologi dari Universiti Columbia.[1][2][3]

Beliau tinggal dan bekerja di Little Rock dan Bandar New York.[4][5] Dengan kerjasama abangnya Craig, Brent Renaud menghasilkan satu siri filem dan program televisyen, kebanyakannya memfokuskan pada kisah kemanusiaan dari kawasan panas di dunia.[5] Dari 2004 hingga 2005, adii-beradik Renaud merakamkan siri Discovery Channel Off to War. Ia meliputi anggota simpanan Arkansas dalam konflik Iraq dan keluarga mereka.[6][7]

Adik-beradik itu juga meliputi peperangan di Iraq dan Afghanistan, gempa bumi 2010 di Haiti, krisis politik di Mesir dan Libya, konflik-konflik di Afrika, perang dadah Mexico dan krisis pelarian di Amerika Tengah.[5] Mereka memenangi beberapa anugerah dalam televisyen dan kewartawanan, termasuk Anugerah Peabody pada tahun 2015 untuk siri video mereka "Last Chance High".[8] Adik beradik itu mengarahkan dokumentari Meth Storm, yang dikeluarkan pada 2017 oleh HBO Documentary Films.[9] Pada 2019, Renaud dilantik sebagai profesor pelawat di Universiti Arkansas.[10] Renaud ialah Felo Nieman 2019. Bersama abangnya, beliau juga adalah penerima anugerah Pulitzer Center; mereka juga mengasaskan Festival Filem Little Rock.